Wednesday, May 8, 2013

Bayu pantai tidak sentiasanya aman


Desiran angin berlalu, setenang hati yang tiada gundah gelisah, sabar menghadapi ujian melanda, tiada lain yang diharapkan melainkan pada Yang Esa. Ombak pantai lembut menampar pantai, laksana belaian kasih dalam jiwa, biar dilanda angin taufan yang kencang, tiada mampu ia menggugat cinta.

Pesan ibu, “Kasih Allah itu melebihi kasih manusia, kalau dicari yang lain, tiada dapat ia ditandingi. Kalau dilari, masih ia setia menanti, kerana Allah itu Maha Pengasih jua miliki segala nilai “pemberi” kerana DIa Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya.”  Kalau dirosak kasih manusia, belum tentu terubat pedih sanubari, tapi kalau dinodai cinta Allah, kekal Dia Maha Pengampun, Maha Memahami setiap kelakuan hambaNya. Benar, kasih Allah tiada yang dapat tandingi, meskipun darjatNya nun jauh melangkau akal manusiawi, namun KasihNya hangat dirasai meskipun jiwa yang kufur menafi.

Kalau memberi ‘kasih’ itu salah, bagaimana lagi mahu engkau cari? Kalau menasihati itu suatu yang diingkari, siapa lagi mahu membetuli diri? Kalau ukhuwah itu dicela dibenci, ikatan bagaimana yang kau nanti?
Meski diberi suluhan nur mahabbah, tiada berkesan buat si pemilik hati. Barangkali kealpaan manusia pada hakikat pemilik hati-hati manusia melalaikannya. Barangkali jua, ia ujian buat si pemberi cahaya. Untuk apa mendambakan kejayaan usaha murni, kalau berpaksi pada kehormatan diri? Benar, manusia alpa selalunya hanyut dalam kesombongan diri, kerana disangka usaha itu adalah yang mulia, kerana itu tiada mungkin ia akan gagal melainkan bertemu kejayaan semata. 

Kata orang, bayu malam lebih aman dari siangnya. Kata orang, sedamai desiran angin bayu meniup lembut, begitulah setenang jiwa yang halus bertutur. Sungguh indah perumpaan orang dahulu kala, namun masih punya falsafah disebaliknya. Setenang sungai yang mengalir, jangan lupa bahaya didalam. Selembut bayu meniup, jangan lupa putaran angin yang kencang merubah alam. Tragedi tsunami, suatu contoh mudah. Disangka ombak besar berubah corak, berubah bertukar menjadi bencana yang ganas memberontak. Begitulah kehidupan manusia sejagat.

Sehari-hari aku melihat warna-warni pudar memancar. Entah bila akan ia bertukar menjadi terang sediakala. Kalau pemantulan cermin sudah berhabuk tak dijaga, mungkin selamanya itulah cahaya kelam lambang manusia semakin hilang pedoman. Semakin ia dibiar tak terjaga, begitulan nilai cahaya pada pandangannya.

Pasca PRU-13


Dalam dimensi sistem demokrasi dunia, yang menang, akan terus berkuasa, manakala yang kalah akan cuba meneroka punca kekalahan. Di Malaysia, dengan masyarakat yang berbilang kaum, keputusan PRU-13 menampakkan beberapa polariti kaum yang cenderung kepada parti yang lebih tampak menonjol dalam memperjuangkan hak mereka.
DAP, misalnya berjaya menarik kaum cina untuk menyokong mereka. Dalam keterbukaan polisi kerajaan yang sentiasa cuba memenangkan hati semua kaum, DAP lebih tampak aggresif memperjuangkan nasib kaumnya, iaitu Cina.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana, kedaulatan dan kedudukan istimewa orang Melayu-Islam bakal dicabar dengan suatu kuasa ‘halus’ melalui desakan dan songgokan masyarakat lain.
Seandainya hal ini berlarutan, tidak mustahil suatu hari nanti, masyarakat Melayu-Islam akan terus digugat dari sudut politik dan kedudukan istimewanya. Apakah masyarakat Melayu sudah lupa? Bahawa kaedah pembawakan wajah sebenar DAP menyerupai saudaranya di Singapura. Dalam hal ini, dibimbangi tragedi 16 Mei akan wujud meskipun tidak tampak dari sudut yang besar, tapi secara halus dimainkan oleh kompenan PKR.

Sememangnya, PRU-13 meletakkan suatu ukuran, sejauh mana kerajaan BN berjaya menaut hati para pengundi tidak kira bangsa dan agama. BN yang dikepalai oleh UMNO harus insaf bahawa perpaduan sesama kaum itu perlu dijadikan intipati perjuangan mereka. Manakala UMNO khususnya, perlu merubah corak pembawakan para pemimpin supaya tidak berlaku kronisme , atau membela hak sesama mereka semata-mata.

PR dan mimpi-mimpinya.

PR atau barisan pembangkang pula perlu insaf bahawa sentimen kebencian yang cuba ditanam pada masyarakat tidak diterima umum khususnya bagi golongan pengundi cerdik pandai. Mereka banyak bermain dengan slogan dan janji-janji kosong yang boleh mengaburi mata pengundi luar bandar sahaja. Apa yang menyedihkan, PAS dalam kompenan PR harus sedar bahawa, matlamatnya sudah tersasar dari jalan dakwah-politik yang sebenar. Dengan perbezaan idelogi, walau atas nama satu matlamat, mereka sukar untuk bersatu. Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. – inilah hakikat yang perlu diterima PAS. Apatah lagi, PAS sendiri sudah semakin hilang identiti asalnya kearah memartabatkan syariat Islam hingga ke akar umbi.

PKR pula, yang wujud diatas semangat memperjuangkan seorang individu yang bernama Anwar Ibrahim, telah lama didoktrin dengan rasa kebencian dan kemarahan kepada parti kerajaan, sehingga menampakkan keghairahan mereka untuk merebut kuasa. Dalam hal yang lain, sepanjang tempoh 5 tahun pentadbiran Selangor dibawah PKR, semakin banyak krisis dan isu yang melibatkan kemudahan-kemudahan asas tidak dapat diselesaikan. Justeru, PKR boleh lebih menilai kembali, apakah parti itu wujud kerana individu atau kerana menjaga kebajikan rakyat. Tidak dinafikan bahawa dalam sistem demokrasi, suara pembangkang itu perlu, tapi jika hanya untuk mengejar kuasa, sifat tamak haloba itu bakal memakan diri.

PRU-13, meletakkan suatu lagi cabaran buat warga Malaysia agar terus mengambil ruang ini mengkaji dan meneliti kembali sejarah peradaban Melayu Nusantara dan sejarah kemerdekaan tanah air tercinta. Bukan mudah untuk mengekalkan kestabilan Negara sehingga Malaysia mampu dipandang tinggi di mata dunia. Pelbagai unsur-unsur luar yang cuba menyelidup masuk dalam pemikiran masyarakat kita. Apakah setiap sistem yang cara yang di’pinjam’ dari Negara luar itu sesuai diamalkan dan dipraktis di Negara kita?
Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia, perlu akur dan insaf bahawa, semakin jauh kita memahami sejarah peradaban bangsa, semakin lupa kita pada perjuangan nenek moyang kita, dan semakin mudah kita terjerumus dalam kancah kekeliruan dek ketaasuban yang melampaui yang menguasai upaya akal nazari.

Hazabe Al-Kelatani.

Saturday, May 4, 2013

PRU-13


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Tinggal beberapa jam lagi untuk menanti PRU-13, dan tinggal beberapa hari lagi untuk final exam. Pasrah, letih, dan tawakkal – itulah nada gelojak jiwa yang sedang bermain di hati.
Dan selama itu juga ku rasakan bahawa proses pemerintahan Demokrasi itu kejam, zalim dan penuh dengan teori konspirasi yang mementingkan kuasa melebihi segala-galanya.

Dengan fahaman sempit masyarakat kita, tidak kira agamawan, bangsawan atau ahli politik, semuanya bermain sentimen emosi. Tapi yang jelas, hanya kelompok ilmuan yang sejati yang berlepas diri daripada fitnah demokrasi.

Eloklah ku huraikan seberapa ringkas mengapa demokrasi itu kejam. Dan kenapa kita dalam nada keterpaksaan memilih untuk memerintah Negara secara demokrasi.

Demokrasi itu Suatu Kezaliman

Yang pertama, masyarakat perlu akur dan insaf bahawa sistem demokrasi itu bukalah ajaran Islam yang dibawa. Kuasa diberikan atas nama majoriti. Dan setiap kuasa itu diletakkan pada calon yang dirasakan berwibawa dan bersih dari sebarang bentuk kejahatan, MENGIKUT pemahaman masyarakat dan bentuk pemikiran mereka. Seadainya masyarakat itu KELIRU, maka pilihan mereka juga ada KEKELIRUAN. Sekiranya masyarakat itu BERILMU dan cerdik pandai, maka calon pilihan mereka sudah tentu daripada golongan yang BERILMU.

Dengan slogan perubahan yang hendak dibawa, ramai yang masih jahil meletakkan ukuran perubahan pada skala pentadbiran dan polisi Negara. Sedangkan perihal kesejahteraan, kebahagian, dan ketenangan sesebuah masyarakat harus bermula dari akar umbi. Dan inilah yang perlu DIROBAH. Masyarakat harus sedar bahawa dalam proses demokrasi, KUASA itu adalah matlamatnya. Dan perubahan itu bersifat sementara kerana sistem pemilihan tampuk kepimpinan boleh bertukar setiap 5 tahun sekali.

Pada asasnya, Islam menyeru kita mengenal pasti akar permasalahan sesuatu kelemahan, dan berusaha menyelesaikannya, bukan hanya mengenal pasti perkara-perkara ranting. Kerana akar itu adalah ibu sesuatu masalah, dan masalah tidak akan selesai seandainya kita memberi fokus pada perkara-perkara ranting.

Ramai beranggapan bahawa, kita perlukan KUASA untuk MERUBAH. Andaian ini hanya berlaku pada mereka yang taasub dan fanatik pada slogan perubahan tanpa mengetahui apa sebenarnya yang patut dirubah.
Dalam hal lain, sistem demokrasi itu juga meletakkan bahawa kuasa majoriti memainkan peranan dalam memastikan kestabilan Negara. Hal ini dilihat agak membimbangkan kerana dengan daya taakul yang lemah serta kejahilan dan kekeliruan masyarakat melayu Islam khususnya dalam pandangan alam Islam, kita mudah didoktrin dan dipengaruhi untuk menerima sesuatu yang bukan berasaskan pandangan alam yang sebenar. Kesannya, proses demokrasi itu hanya membuka ruang untuk anasi-anasir luar menyerap masuk melalui perang saraf dan menimbulkan kekeliruan terhadap pengaruh Kuasa dalam aspek perubahan.

Demokrasi yang disalahfahamkan.

Satu hal yang wajar kita ketahui adalah, proses demokrasi adalah proses memilih pemimpin berdasarkan suara-suara rakyat. Justeru, rakyat itu adalah hakim, yang boleh menentukan siapa pemimpin yang mereka kehendaki. Seandainya pandangan alam mereka dicemari dengan doktrin-doktrin sempit, dan dihasut untuk membenci kerajaan yang ada, kesannya, akan lahirlah dalam kalangan masyarakat pemimpin yang sifatnya bukan untuk membela rakyat tapi untuk merebut kuasa.

Persoalannya, adakah Negara akan lebih maju dan terus makmur seadainya masyarakat dididik dengan doktrin yang kotor. Proses pemilihan kepimpinan Negara hanya berlaku 5 tahun sekali. Dan proses pemerintahan kerajaan selama 5 tahun itu tidak lama, setiap benda sama ada baik atau buruk boleh berlaku. Dan dibimbangi apakah pemimpin yang dipilih itu benar-benar mempunyai kredibiliti untuk memimpin masyarakat?
Sememangnya, demokrasi itu juga adalah satu bentuk fahaman yang beranggapan rakyat berhak menentukan calon pemimpin mereka sendiri. Seperti baju, kalau baju itu lusuh, maka ditukarnya baju kepada baju baru. Tapi kalau baju itu kekal elok, disimpannya baju sehingga sampai masanya untuk bertukar.

Dalam hal ini, elok kita renungi sebuah kata-kata sinis oleh matan Perdana Menteri bila ditanya oleh wartawan barat apakah beliau seorang democrat? Dan apakah beliau bersetuju dengan proses demokrasi. Dijawabnya secara sinis, “If you see, the greatest civilization in human history,they don’t apply democracy in their governing, yet they become great. And do you expect that democracy will work for all the countries in the world?”

Dalam hal ini jelas, sistem demokrasi juga ada kelemahannya. Berbanding Negara lain, Malaysia adalah satu-satunya Negara yang mempunyai kaum dan bangsa yang majmuk. Dan sehingga kini, kita masih mampu mewujudkan kestabilan dan keamanan dalam Negara. Kerana apa? Kerana sistem demokrasi yang diamalkan bukan seratus peratus mengikut idea asal barat tapi diolah dan diubah gayanya dengan kajian dan ijtihad para bijak pandai.

Disinilah, kita sekali lagi akur, bahawa, dalam demokrasi, perihal hal kebebasan masih ada hadnya. Dalam satu sisi, setiap perkara yang dilakukan ada kawalan dan batasannya. Seandainya had-had ini dilampaui, dikhuatiri kita gagal mencapai kata sepakat, dan akhirnya kita tidak mampu wujud sebagai sebuah masyarat majmuk yang berbilang bangsa.

Wednesday, May 1, 2013

Selamat kembali menulis, Hazabe al-Kelantani


Selamat kembali ke dimensi baru buat Hazabe Al-Kelantani.
Welcome back to the new dimension, Hazabe Al-Kelantani.

Assalammualaikum wrt.

Puji-pujian dan syukur dirafa’kan ke hadrat Allah SWT, Yang Maha Esa dan selawat serta salam buat Kekasih junjungan Ummat dan Pembawa risalah kebenaran, Sayyidina Muhammad SAW, di atas ni’mat iman dan Islam serta ni’mat kehidupan sebagai umat baginda Rasulullah SAW yang tinggi kedudukannya berbanding ummat-ummat terdahulu.
Dan aku bertawassul di atas kemuliaan kedudukan Baginda Rasulullah SAW supaya Allah mempermudahkan jalan penulisan ini sebagai landasan perkongsian yang dapat memberi manfaat, menyegarkan pembaca dengan nur-Islam dan rasa mahabbah yang tinggi didalam aturan kehidupan. Semoga kita semua beroleh hidayah dan syafaat Rasulullah di penghujung jalan penceritaan.

Ku mulakan blog ini dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih dan selawat serta salam buat Baginda Rasulullah SAW.

Ku coretkan tinta untuk terus melakar dalam dimensi baru wajah pemikiranku. Barangkali ada yang bertanya, kenapa perlu menulis blog yang baru? Kenapa tidak diteruskan kesinambungan blog lama?
Jawabku, “ Aku memilih untuk memerhati, menganalisis dan menyimpulkan suatu penulisan yang matang, ilmiah dan bersifat neutral”.

Sebagaimana ku lakarkan didalam blog lama, dasar kehidupanku adalah Islam. Dan ku susuri jalan-jalan keilmuan, mencari dan mempelajari perihal Aqidah, Tauhid, Falsafah, Linguistik, dan Ekonomi demi membawa manfaat bersama.

Segala yang ditulis di blog ini adalah asli daripada diri ku yang kerdil. Dan apa yang ditulis adalah pendapat peribadi penulis tanpa penglibatan daripada pihak luar.

Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk aku terus istiqamah dalam penulisan. InshaAllah setiap minggu sekali, blog ini akan di ‘update’ demi mengajarkanku erti sifat disiplin dalam penyampaian ilmu. Akhir kata, “ yang baik dijadikan panduan, yang buruk dijadikan sempadan”.

Salam ukhuwah fillah.

Hazabe al-Kelantani.